Mengatasi Masalah Murid Tahun 4 Dalam Penguasaan Sifir Dengan Menggunakan Sifir Petak 100.
OLEH:
PUAN MARLINA BT MAMAT
GURU MATEMATIK TAHUN 4 / KETUA PANITIA MATEMATIK
SEKOLAH KEBANGSAAN SULTAN YUSSUF
Abstrak
Kajian tindakan ini dilaksanakan adalah untuk dinilai sejauh manakah keberkesanan
penggunaan Sifir Petak 100 dalam penguasaan sifir 1-12. Sampel yang digunakan dalam
kajian ini terdiri daripada murid-murid Tahun 4 yang merangkumi enrolmen seramai 32
orang yang membabitkan murid Tahun 4 UKM. Kesemua sampel murid adalah melibatkan
murid sederhana dan lemah sama ada dalam matapelajaran matematik mahupun
matapelajaran - matapelajaran yang lain. Namun dalam kajian ini, sampel yang digunakan
tidak melibatkan murid MBK (Murid Berkeperluan Khas).
Dalam hal ini, data yang dikumpulkan adalah melalui Ujian Pra dan Ujian Pasca di
mana hasil daripada kedua-dua kutipan data ini akan dianalisis dan dibandingkan. Selain
itu, data daripada markah Ujian PAWT Mac 2020 yang lalu juga turut digunakan dan
diambil kira sebagai rujukan dan bandingan pencapaian bagi data sampel Ujian Pra dan
Ujian Pasca bagi tujuan menyokong dan memantapkan lagi kajian ini.
Selain itu, kebolehan untuk menguasai sifir 1-12 adalah asas yang amat penting bagi
semua murid terutamanya murid- murid yang mulai memasuki Tahap 2 iaitu Tahun 4-6.
Dalam menguasai semua topik matematik, (Penguasaan yang melibatkan asas darab dan
bahagi) penguasaan sifir adalah menjadi asas penting untuk menyelesaikan masalah yang
melibatkan sama ada darab atau bahagi dan juga kemahiran - kemahiran yang berkaitan.
Antara faktor yang menyebabkan kebanyakan murid tidak dapat menguasai kemahiran
mendarab ialah kerana murid tidak dapat menghafal atau mengingati sifir. Oleh itu, sudah
tentu soalan penyelesaian masalah juga akan tidak dapat dikuasai oleh murid akibat
2
daripada masalah menghadapi sifir tersebut. Menurut Wong Khoon Yoong (1987),
kebolehan matematik yang lebih tinggi akan dapat dikuasai sekiranya kebolehan
matematik yang lebih rendah dikuasai terlebih dahulu. Dalam hal ini, ia membentuk suatu
hierarki yang saling berkaitan antara satu sama lain.
Selain itu juga, ramai pelajar yang tidak dapat menyelesaikan masalah dalam
matematik adalah kerana gagal menguasai kemahiran asas matematik sejak di sekolah
rendah lagi. Terutamanya kemahiran matematik yang melibatkan pengunaan sifir. Dalam
hal ini, kita semua harus sedar bahawa pemikiran murid-murid di peringkat awal lebih
mudah dibentuk berbanding pemikiran murid-murid di peringkat dewasa (sekolah
menengah). Oleh itu, kita perlu menanam konsep asas matematik kepada murid-murid
seawal di peringkat sekolah rendah lagi, agar murid tersebut tidak akan mempunyai
masalah untuk menguasai konsep matematik yang seterusnya. Kenyataan ini disokong
oleh Gagne (1970) dalam bukunya ‘The Condition of Learning’ yang mengatakan bahawa
amat sukar untuk membentuk konsep pada minda murid dan jika ia sudah berlaku, maka
mudahlah pembelajaran itu dilaksanakan . Oleh yang demikian, kaedah penggunaan Sifir
Petak 100 bukan saja dapat membantu meningkatkan penguasaan kemahiran mendarab
dan kemahiran metematik yang lain malah ia juga memberikan satu keseronokan yang
baru dan mengurangkan tekanan kepada murid dalam mengingati dan menghafal sifir.
Pengkaji melihat bahawa kaedah penggunaan Sifir Petak 100 adalah satu alternatif yang
baik dan berkesan bagi membantu murid menyediakan sifir 1-12 tanpa perlu menghafal
sifir tersebut.