KEBERKESANAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SECARA MAYA SEMASA PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP) BAGI SUBJEK MATEMATIK TAMBAHAN TINGKATAN 5
Oleh :
Norfazilawati binti Mohd Hasbi
Mohd Shahriman bin Mohd Anuar
SBP Integrasi Gopeng,
31600 Gopeng, Perak
ABSTRAK
Kajian ini bertujuan untuk mengkaji keberkesanan pengajaran dan pembelajaran secara maya bagi subjek Matematik Tambahan semasa musim PKP ini dilaksanakan. Umum maklum bahawa subjek ini merupakan antara subjek yang sukar untuk dikuasai oleh pelajar. Ditambah pula dengan kemunculan soalan berbentuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang sememangnya mencabar pemahaman pelajar. Justeru itu, kami mengambil inisiatif untuk memastikan proses pembelajaran berjalan dengan sebaik mungkin agar pelajar tidak ketinggalan sebaik sahaja bermulanya sesi persekolahan setelah selesai PKP ini. Sampel kajian ini bertumpu kepada 110 orang pelajar Tingkatan 5 yang mengambil subjek Matematik Tambahan. Tinjauan awal daripada analisis PAT 2019 mendapati lebih separuh pelajar masih belum mencapai tahap yang memuaskan. Hasil tinjauan awal mendapati penguasaan bagi topik-topik tingkatan 4 juga masih belum menyeluruh. Justeru itu, Kajian Tindakan ini bertujuan untuk membantu murid meningkatkan kefahaman dan kemahiran topik-topik tingkatan 4 yang terdahulu di samping mempelajari topik-topik semasa secara maya dengan menggunakan pelbagai kemudahan yang boleh digunakan oleh mereka.