KAJIAN KEBERKESANAN PDP BIOLOGI SECARA ATAS TALIAN SEMASA PKP TERHADAP MINAT MURID DALAM MATA PELAJARAN BIOLOGI DAN TAHAP PENCAPAIAN MURID DALAM MATA PELAJARAN BIOLOGI TINGKATAN 4 DI SMK SENTOSA, KAMPAR, PERAK.
OLEH :CHE ZUNAIDAH BINTI CHE HASSAN
SMK SENTOSA
ABSTRAK
Kajian tindakan ini dijalankan untuk mengkaji keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran Biologi secara atas talian terhadap minat dan tahap pencapaian murid tingkatan 4 yang menjadi sampel kajian. Seramai 17 orang murid daripada kelas SainsTulen iaitu kelas 4UM di Sekolah Menengah Kebangsaan Sentosa, Kampar telah mengikuti kelas Biologi secara atas talian sejak cuti Perintah Kawalan Pergerakandikuatkuasakan pada 18 Mac 2020 yang lalu. Guru ingin mengkaji sejauh manakah kelas tersebut dapat mempengaruhi minat murid terhadap mata pelajaran Biologi dan menilai tahap kefahaman murid setelah menjalankan kelas selama 4 minggu. Selain itu juga, guru ingin mengkaji tahap pencapaian markah murid untuk 2 bab yang diajar sepanjang cuti tersebut. Guru menggunakan kaedah kelas maya melalui penghasilan video PdP, kumpulan perbincangan maya, perbincangan soalan dan aktiviti ‘hands on’ iaitu eksperimen di rumah masing-masing. Selepas selesai semua sesi kelas tersebut diadakan, guru mengedarkan soal-selidik yang mengandungi 20 item untuk dijawab juga secara atas talian. Analisis soal-selidik tersebut digunakan untuk menjawab persoalan kajian berkaitan minat murid dan tahap kefahaman murid. Guru juga membuat sesi ujian kepada murid-murid secara atas talian dan menganalisis markahmurid-murid serta membuat perbandingan dengan markah Ujian Selaras pada bulan Mac. Hasil kajian mendapati bahawa, 80-90% murid-murid kelas 4UM sangat berminat mempelajari Biologi semasa PdP secara atas talian. Hal ini menunjukkan bahawa kelas Biologi atas talian memberikan kesan yang positif terhadap minat murid terhadap mata pelajaran Biologi. 80-90% murid juga dapat memahami isi kandungan dan topik yang diajar menggunakan video dan kelas atas talian secara perbincangan. Terdapat hubungan yang signifikan antara tahap kefahaman murid terhadap isi kandungan mata pelajaran dengan PdP atas talian. Manakala 64.70% murid-murid kelas 4UM menunjukkan peningkatan dalam pencapaian markah ujian berbanding ujian Pra iaitu markah Ujian Selaras 1 pada bulan Mac. Kesimpulannya, hasil dapatan ini menunjukkan bahawa PdP Biologi atas talian memberikan kesan yang signifikan terhadap tahap pencapaian murid dalam mata pelajaran Biologi Tingkatan 4.