“FUNDEMIX LIBRARY BOX”
SITI AZNI BINTI RAZALI
MARIYA BINTI ARIFFIN @ ARIPIN
MAIMUNAH BINTI ABDUL AZIZ
SK SENTOSA, KAMPAR
ABSTRAK
Kertas kerja berkenaan inovasi ini dilakukan di SK Sentosa bermula Oktober 2020 sehingga Mac 2021. Berikutan masalah pandemik covid-19 yang masih melanda seluruh dunia, aspek pendidikan negara kita juga turut terjejas. Murid-murid tidak dapat bergerak bebas dan pergerakan mereka menjadi terhad. Mereka tidak berpeluang untuk memasuki pusat sumber seperti biasa. Justeru itu, kami telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan satu projek BBM yang dinamakan Fundemix Library Box (FLB). Kotak ini berfungsi sebagai Pusat Sumber Mini Bergerak. Terdapat tiga komponen utama di dalam kotak ini iaitu pentas mini, pinjaman buku dan literasi maklumat. Penggunaan Fundemix Library Box ini juga tidak terhad kepada guru Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, malahan ia juga boleh digunakan oleh guru-guru subjek lain ketika waktu ganti. FLB ini digunakan untuk memberi peluang kepada murid melalui pengalaman mereka sendiri. Sejak pandemik Covid-19, murid tidak lagi dibenarkan untuk ke pusat sumber sekolah memandangkan ruang yang agak terhad, maka mereka tidak dapat meminjam buku dan melihat pameran bertema serta menyertai aktiviti pusat sumber seperti biasa. Dengan adanya FLB ini mereka dapat meminjam, melihat dan menyertai aktiviti yang dirancang oleh pusat sumber secara norma baharu.FLB ini adalah salah satu elemen didik hibur yang dapat memberi peluang murid merasai keseronokan dalam menghadapi pembelajaran dan pengajaran secara norma baharu di dalam kelas. Ia adalah salah satu sisipan dalam pelaksanaan Program Nilam seterusnya memaksimakan penggunaan Nilam dalam situasi norma baharu. Aktiviti berbentuk didik hibur seperti ini adalah salah satu aktiviti penting dalam perkembangan seseorang kanak-kanak untuk mencapai potensi diri mereka sepenuhnya (Ginsburg, 2007). Dengan adanya FLB ini, kami dapat merangsang minat murid untuk mencipta kemahiran dan pengetahuan secara tidak langsung menyumbang kepada perkembangan kognitif, fizikal, sosial dan kesihatan emosi mereka. Mereka dapat belajar dan meneroka persekitaran melalui aktiviti bermain kerana imaginasi mereka yang tinggi (Erikson, 1985). Akhir bicara, semoga FLB yang berfungsi sebagai mini pusat sumber bergerak ini dapat dipelbagai gunakan secara maksima dan menarik pada masa akan datang.